Luahan hati penulis blog

Published on Utusan Malaysia on 31 July 2010

Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my

KUALA LUMPUR menjadi tuan rumah pertama di Asia bagi Persidangan Penulis Blog Media Sosial yang berakhir kelmarin.

Objektif persidangan berkenaan ialah mengingatkan komuniti blog di Asia supaya lebih bertanggungjawab dalam mengendalikan laman blog masing-masing.

Persidangan tersebut berjaya menghimpunkan penulis blog dan pelbagai profesional dari pelbagai negara untuk berkongsi pengalaman dan fikiran mengenai peranan blog dalam pelbagai aspek.

Profesor Pemasaran dari California State University Amerika Syarikat (AS), Beng Soo Ong menyifatkan pengguna dan pengeluar pelbagai produk perlu memantau dan menggunakan blog dengan bijak.

Ini kerana 48 peratus daripada pengguna di AS menggunakan ulasan berhubung sesuatu produk atau jenama di Internet sebelum membuat pembelian, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes yang turut menjadi penceramah pada persidangan tersebut berkata, 80 peratus daripada pendapatan jualan tiket syarikat penerbangan berkenaan adalah melalui laman web.

“Bermula dengan 20,000 penumpang lapan tahun dulu AirAsia kini mempunyai 27 juta penumpang dan saya amat terhutang budi kepada Internet atas kejayaan ini,” tambah beliau.

Penulis blog dari Malaysia, Ahmad Nazuwan Amran, 27, yang mengendalikan laman blog www.beautifulnara.com berkata, seorang penulis blog perlu memahami apa yang dikehendaki oleh pembaca selain mempunyai gaya penulisan tersendiri.

“Ini adalah penting untuk menambah pembaca. Saya gemar menulis isu-isu artis dan hiburan dengan tema Mari Bergosip Secara Berhemah.

“Nama sesebuah blog juga perlu menarik seperti blog saya yang menggunakan nama beautiful nara. Pembaca sering menyangka blog saya adalah mengenai seorang wanita yang cantik dan seksi,” katanya.

Penulis laman blog gayahidup sosial dan parti, Joyce Wong berpendapat blog tidak akan mengatasi peranan media tradisi.

Katanya, media tradisi mempunyai kelas yang tersendiri dan lebih menyentuh pembaca.

Sementara Profesor Madya Michael Netzley dari Singapura menyifatkan Internet sebagai satu medium penting bagi masyarakat menyatakan protes.

Contoh yang beliau berikan ialah protes di Internet mengenai patung zaman kanak-kanak Presiden Barack Obama tidak lama dulu sehingga memaksa patung berkenaan dipindahkan.

“Dalam pemerhatian saya penggunaan Internet adalah lebih baik di Malaysia berbanding di Singapura. Masyarakat di Malaysia lebih ekspresif,” jelasnya.

Penulis blog Filipina, Oliver Bloggie Robillo berkongsi pengalaman dengan peserta persidangan mengenai pilihan raya Filipina baru-baru ini di mana media cetak dan elektronik menghubungi penulis blog untuk mendapatkan berita.

Tambah beliau, selain penulisan laman blog juga boleh dikendalikan melalui penggunaan gambar-gambar dan pendekatan ini biasanya sangat efektif dalam mempromosi makanan.

Menurut penulis blog dari India, Amir Varma, blog mula popular di India ketika tragedi tsunami 2004 apabila laman blog memuat turun pelbagai gambar dengan segera.

“Faktor ruang yang terhad di akhbar dan penerbitan hanya pada keesokan hari mendorong laman blog lebih popular,” jelasnya.

Wartawan akhbar The Star, Nikki Cheong melahirkan harapan supaya laman blog dapat berkolaborasi dengan media tradisional seperti akhbar demi kebaikan pembaca.

“Kewartawanan dan media sosial perlu bergerak seiring pada masa akan datang. Ini kerana kedua-duanya berkait rapat. Media sosial sering membincangkan isu yang dilaporkan media cetak,” katanya.

Justeru, tambah beliau, tanggapan bahawa media cetak akan hilang pengaruh adalah tidak tepat.

Datin Paduka Marina Mahathir yang mengendalikan blog bertajuk Rantings berpendapat mereka yang menulis di laman blog perlu berhujah dengan bijak dan bernas.

“Blog tidak semestinya memberikan fokus kepada isu politik semata-mata,” katanya.

Peguam Foong Cheng Leong mengingatkan biarpun seseorang itu bebas menulis apa saja di blog, batasnya tetap ada.

Beliau memberikan contoh golongan yang menyalahgunakan blog dengan meluahkan rasa tidak puas hati kepada majikan di laman blog sendiri.

Kesemua ahli panel dalam persidangan berkenaan bersetuju bahawa perlu ada batasan dalam penulisan blog.

Sebagaimana tindakan menyerang seseorang secara fizikal atau lisan dengan cara berhadapan menjadi kesalahan dan tidak diterima masyarakat, perkara yang sama perlu diamalkan dalam blog.

Kesedaran ini perlu diamalkan oleh komuniti blog sejagat supaya blog menjadi medan perbincangan yang positif dan tidak menjadi tempat meluahkan segala rasa tidak puas hati dan perkara negatif.

Link to original article.

 


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *